SEDARKAH anda bahawa medium utama untuk mendapatkan sesuatu ilmu itu adalah menerusi pendengaran?
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi myHEALTH menyatakan, pendengaran merupakan salah satu pancaindera penting dalam proses komunikasi.
Justeru, agak sukar seseorang itu untuk mendapatkan sesuatu maklumat dengan baik sekiranya dia tidak dapat mendengar atau pekak.
Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, orang kurang upaya (OKU) pendengaran ialah individu yang tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua belah telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran.
Kita sedia maklum bahawa untuk orang buta, telah wujudnya alat bantuan bagi mendapatkan maklumat dikenali Braille.
Manakala golongan bisu pula, mereka boleh mendapatkan maklumat dengan mudah menerusi percakapan atau penulisan.
Namun, berbeza buat golongan pekak yang tidak dapat mendengar akan maklumat yang ingin disampaikan.
Kenapa tidak menulis sahaja sepertimana kita lakukan kepada orang bisu? Perkara ini hanya boleh dilakukan kepada mereka yang boleh membaca, bagaimana pula dengan mereka yang buta huruf?.
Justeru, cara berkomunikasi dengan orang pekak adalah dengan menggunakan bahasa isyarat.
Penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dalam dakwah
Di Malaysia, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) digunakan sebagai penanda aras bagi semua golongan masyarakat tidak kira usia.
Namun, sayang sekali kerana sebilangan rakyat Malaysia kurang cakna atau kurang kesedaran untuk belajar dan mahir bahasa isyarat.
Di samping itu, selain dapat berkomunikasi dengan golongan pekak, kita juga boleh jadikan bahasa isyarat ini sebagai medium untuk menyampaikan dakwah ataupun ilmu.
Malah, perkembangan maklumat dihujung jari mewujudkan pelbagai aplikasi menarik seperti Quran Isyarat, BIMbank, Kod Tangan Quran dan banyak lagi.
Ini semua merupakan satu inisiatif yang sangat bagus dalam usaha membantu golongan pekak mendapatkan ilmu, khususnya ilmu agama.
Tegasnya, saya menyeru agar semua rakyat Malaysia mula cakna tentang keutamaan belajar dan fahami bahasa isyarat untuk berkomunikasi dan berdakwah kepada golongan pekak kerana kita perlu saling ingat-mengingatkan ataupun berdakwah sesama manusia sepertimana firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”.
Konklusi
Jelaslah disini bahawa, cara untuk membantu golongan pekak adalah dengan kita sendiri perlu mempelajari dan memahirkan lagi bahasa isyarat kita agar mudah untuk kita berkomunikasi dan menyampaikan dakwah atau ilmu kepada mereka.
Memandangakan dunia hari ini sudah moden, sangat mudah untuk kita mempelajari dan mendalami lagi bahasa isyarat menerusi bahan bacaan, perkongsian video di YouTube, tutorial di TikTok dan sebagainya.
Peluang dan ruang sudah tersedia, sekarang giliran kita sama ada ingin melakukan atau sebaliknya.
Oleh: NUR FAIRUZ SHAHIRAH ABD RAHIM
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)