SELEPAS reda isu pemilik Perodua Bezza berjaya mendapat pampasan berikutan kenderaan itu mengalami kerosakan tidak sampai tempoh lapan jam selepas digunakan, kini hampir sama dihadapi oleh individu lain.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pemilik kereta berjenama Honda HR-V 1.5 Turbo, yang mana kenderaannya mengalami masalah sebaik sahaja dihantar ke Pusat Servis Honda di Gong Badak, Terengganu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Noriya Mamat berkata, kereta yang dimiliki sejak 26 Ogos lalu itu dibawa ke pusat servis berkenaan selepas dua minggu digunakan.
Menurutnya, kereta itu diservis pada pagi 2 September lalu sebelum boleh digunakan pada sebelah petang.
Namun, katanya, masalah dihadapi kenderaannya bermula dua hari selepas diservis, yang mana ‘controller‘ lampu depan tidak boleh dilaras, lampu penunjuk pada ‘dashboard‘ berkelip-kelip serta lampu kecemasan menyala.
“Kereta dihantar ke pusat servis semula dan seminggu selepas itu kereta boleh diambil.
“Malangnya, masalah yang sama berulang. Kereta sekali lagi dihantar ke pusat servis. Saya terpaksa berulang-alik ke pusat servis dalam keadaan saya sarat mengandung pada ketika itu,” tulisnya pada Khamis.
Sebulan selepas itu, katanya, kenderaannya masih belum pulih daripada kerosakan manakala pusat servis terbabit memberi alasan tidak dapat mengesan punca masalah kereta.
Malah, ketika dia menghubungi pusat servis berkenaan pada Disember lalu, alasan sama masih diberikan dan dia dimaklumkan bahawa pegawai teknikal dari Ibu Pejabat Honda akan turun ke Terengganu bagi melihat masalah pada kenderaan itu.
Sebagai ganti, dia ditawarkan kereta Perodua Myvi buat sementara, bagi kemudahannya untuk berulang alik ke klinik sebelum diganti dengan Honda City.
Tambah Noriya, dia juga menerima panggilan dari Ibu Pejabat Honda yang memaklumkan, masalah kereta miliknya tidak dapat diselesaikan selepas lebih empat bulan kereta berada di pusat servis.
“Kali ini mereka maklumkan bahawa kereta akan dibawa ke Honda Kuala Lumpur untuk dipantau lebih lanjut dan tempoh sebulan untuk mencari penyelesaian.
“Saya mahukan keadilan untuk diri saya. Setiap bulan terpaksa membayar kereta yang saya dan suami tidak dapat gunakan.
“Bayaran bulanan hampir RM1,500, namun kami tidak dapat menggunakan kereta tersebut. Besar harapan saya untuk dapatkan kereta Honda HR-V baharu tetapi mereka memberi tahu yang itu tidak termasuk dalam waranti,” katanya kesal.
Pada masa sama, Noriya turut memuat naik foto memaparkan anak yang dikandungnya sejak tahun lalu kini sudah pun berusia 2 bulan, namun isu kenderaannya masih belum selesai.
Setakat ini, Honda Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.