PUCHONG: Tiga warga Bangladesh yang menceroboh sebuah unit pangsapuri kosong di sini ditahan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tiga suspek yang masing-masing berusia 23 hingga 30 tahun itu ditahan di unit pangsapuri tersebut pada kira-kira jam 9 malam.
“Penahanan tiga suspek warga Bangladesh itu dibuat setelah pemilik rumah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Ayer Putih, Kemaman, Terengganu dan dijadikan laporan kepada Balai Polis Putra Perdana, Puchong.
“Siasatan awal dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek terbabit mengaku tinggal di rumah itu sejak dua bulan lalu, selain bertindak merosakkan kunci pintu dan menggantikannya dengan yang baru,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Wan Kamarul berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan pihaknya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ahad lalu, seorang lelaki terkejut apabila mendapati rumah yang dibiarkan kosong sejak 10 tahun lalu sekumpulan warga asing.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, lelaki menggunakan akaun Srilabu Kedah itu berkata, perkara tersebut terbongkar selepas dia diamanahkan oleh pemilik rumah untuk melihat keadaan kediaman terbabit bagi urusan jual beli.