HomeBeritaViral‘Dahlah masuk sektor awam guna ‘cable’, sempat lagi karaoke 3 jam’

‘Dahlah masuk sektor awam guna ‘cable’, sempat lagi karaoke 3 jam’

TINDAKAN seorang wanita yang mendedahkan bahawa dia memiliki keistimewaan ketika bekerja di sektor awam menimbulkan persoalan ramai.

Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok, wanita dikenali sebagai Nana itu memberitahu, dia menghabiskan masa rehatnya selama tiga jam di pusat karaoke pada setiap hari Jumaat.

Tangkap layar video wanita tersebut ketika berada di sebuah pusat karaoke pada waktu rehat.

Rata-rata pengikutnya yang teruja dengan keistimewaan itu terus mengajukan soalan, bagi mengetahui cara memohon pekerjaan di tempat dia bekerja yang dipercayai di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Namun, wanita itu tanpa segan-silu memaklumkan bahawa dia menggunakan orang dalam atau ‘cable‘ bagi mendapatkan pekerjaan tersebut.

Tangkap layar hantaran wanita itu yang mendakwa memiliki ‘cable’, untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam.

Keterujaan wanita itu tidak bertahan lama apabila rata-rata netizen mula meluahkan rasa tidak puas hati dan menganggapnya seolah-olah mendedahkan sisi buruk sektor kerajaan.

Tulis @AndydeCzar: Inilah orang kata menconteng arang ke muka mak sendiri. Taksub sangat nak jadi terpaling gomen (kerajaan).”

Tambah @mhazmanzlkply: “Benda ni integriti. DOSM tu jaga data awam kot. Kalau benda b***h macam ni boleh cakap secara terbuka, apa persepsi orang awam? Sebab tu kena jaga integriti.”

Ujar @zarramokhtar: “Dah dapat privilege (keistimewaan) rehat sampai 3 jam tapi tak reti simpan. Ikutlah nak buat apa pun tapi tak payah nak hebah kat satu Malaysia. Orang lain siap balik rumah tidur lagi tapi senyap-senyap sudah.Ni dia beritahu masuk kerajaan pakai cable.”

Tinjauan Media Variasi di laman TikTok Nana mendapati, hantaran video tersebut sudah dipadam selepas dibanjiri dengan kecaman orang ramai.

Wanita itu sebaliknya memuat naik hantaran baharu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Jelas Nana, dia tidak lagi bekerja di jabatan itu, manakala kontraknya sudah pun ditamatkan pada tahun lalu.

Menurutnya, video berkenaan dirakam pada September 2023 dan ia dimuat naik sekadar hiburan bagi mempamerkan suasana di tempat tersebut.

Menjawab pertikaian mengenai waktu rehat, Nana berkata, tempoh tiga jam yang dimaksudkannya adalah hanya sebagai anggaran.

“Lebih tepat lagi waktu rehat kami pada setiap hari Jumaat adalah dari 12.15 tengah hari sehingga 2.45 petang, bersamaan 2 jam 30 minit.

“Saya rehat di luar bukanlah selama tiga jam. Lebih kurang satu jam saya berada di ruang hiburan, itu pun selepas makan tengah hari.Masa selebihnya saya sudah pun berada di pejabat untuk menunaikan solat Zohor.

“Seterusnya, waktu rehat saya tidak bawa beg tangan, sebaliknya hanya dompet dan telefon. Kerana itulah saya tidak membuka lanyard jika pergi ke mana-mana kerana tidak ada tempat untuk simpan.

“Perkara ini juga dianggap perkara biasa di kawasan itu kerana ramai pekerja di sana juga tidak membuka lanyard mereka. Tetapi, saya mengakui kesalahan tidak membuka lanyard tersebut apabila masuk ke tempat hiburan,” katanya.

Jelas wanita itu, dakwaan dirinya menggunakan ‘orang dalam’ ketika mendapatkan pekerjaan tersebut hanyalah sebagai gurauan.

Dia turut mengakui kekhilafannya yang disifatkan kurang cerdik, sekali gus menimbulkan pandangan buruk terhadap dirinya dan penjawat awam lain.

Katanya, sekiranya benar dirinya memiliki cable, sudah tentu kontrak pekerjaannya disambung pada tahun ini.

“Saya ingin jelaskan bahawa saya tahu mengenai jawatan kosong melalui status kawan (Mac 2023). Saya pergi sendiri untuk memohon dan juga melalui proses temu duga dengan pegawai di sana. Dalam beberapa hari kemudian, saya dapat panggilan diterima bekerja.

“Di sini, saya memohon maaf kepada anda semua. Saya mengakui kesalahan saya dalam mengeluarkan kenyataan. Saya juga ingin memohon maaf kepada pihak yang terlibat disebabkan oleh kesilapan saya seorang,” katanya.

Author

Pilihan Editor