HomeBeritaPolitikDakwaan kaum India tak setia kepada Malaysia melampau - Gerakan

Dakwaan kaum India tak setia kepada Malaysia melampau – Gerakan

CYBERJAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengecam kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kaum India masih tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai melampau dan sangat memalukan.

Menurutnya, tindakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mempersoalkan kesetiaan sesebuah masyarakat tidak sepatutnya datang daripada seorang bekas Perdana Menteri, yang pada suatu ketika dahulu membawa agenda Wawasan 2020.

Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum yang menjadi tunjang keteguhan negara bertuah ini.

“Apa yang menyedihkan, bekas Perdana Menteri itu dalam temubualnya berkata telah pun compensated well masyarakat bukan Melayu ke atas sumbangan mereka. Bolehkah kita ‘memberi pampasan’ kepada rakyat kita sendiri?

“Ahli politik perlu keluar dari perigi politik cetek, tidak guna kita mendabik dada sebagai sebuah negara yang pesat membangun tetapi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat diserang barah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, Gerakan sebelum ini pernah mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi mengutarakan kekesalan berhubung kenyataan kontroversinya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai tahun lalu.

Katanya, Dr Mahathir ketika itu menyifatkan bahawa parti politik pimpinan bukan Melayu sebagai parti pendatang.

“Rakyat Malaysia perlu bersatu, menerima faktanya bahawa negara ini adalah sebuah negara yang dibina bersama atas landasan perpaduan dan benih pemahaman serta silaturahim yang kita tanam hari ini, suatu hari nanti akan mekar sebagai kemakmuran bersama.

“Gerakan berpendapat kenyataan-kenyataan sebegini daripada seorang yang dilihat sebagai negarawan adalah sangat menyinggung dan kerajaan perlu menasihatkan beliau untuk tidak terus menanam perbezaan yang berkemungkinan memecahkan semangat Bangsa Malaysia yang kita telah bina selama ini,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilapor mendakwa, masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian bersama saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Author

Pilihan Editor