HomeBerita'Definisi B40, M40 dan T20 perlu ditakrifkan semula'

‘Definisi B40, M40 dan T20 perlu ditakrifkan semula’

CYBERJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mentakrif semula definisi golongan berpendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20.

Pengerusi MARA, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, takrifan golongan itu pada masa kini tidak memadai dengan melihat pendapatan isi rumah semata, ia perlu mengambil kira pelbagai aspek.

“Definisi B40, M40 dan T20 perlu ditakrifkan semula. Tidak wajar hanya dilihat aspek pendapatan isi rumah sahaja.

“Perlu ambil kira tanggungan seperti anak-anak, orang tua dan faktor bandar atau luar bandar. Mara akan mulakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, isu pendapatan isi rumah mula mendapat perhatian umum apabila beliau menegur ibu bapa yang memalsukan pendapatan dengan mendakwa mereka dalam golongan B40 agar anak mereka diterima sebagai pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Perkara itu susulan MARA menetapkan 60 peratus pelajar MRSM adalah daripada golongan itu, manakala selebihnya adalah calon yang lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) daripada golongan M40 dan T20.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan kini giat mentakrifkan golongan B40 sebagai isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM4,850.

“Bagi golongan M40 pula adalah bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM4,851 hingga RM10,970.

“Manakala bagi golongan T20 yang merupakan golongan berpendapatan tinggi pula dengan pendapatan bulanan RM10,971 ke atas, “ ujarnya.

Author

Pilihan Editor