HomeBeritaPolitikGagal berunding peruntukan, 10 lagi MP Bersatu dijangka sokong Anwar

Gagal berunding peruntukan, 10 lagi MP Bersatu dijangka sokong Anwar

CYBERJAYA: Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyatakan rasa kecewa terhadap pemimpin Perikatan Nasional (PN), yang didakwa enggan berunding mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mendedahkan, perkara tersebut menyebabkan beliau menjadi salah seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mengakui bahawa, keputusan itu adalah tidak mudah kerana terpaksa berdepan dengan hinaan, cacian dan tuduhan.

Namun, beliau dan beberapa Ahli Parlimen yang membuat keputusan sama tidak mempunyai pilihan lain, memandangkan bantuan di kawasan masing-masing sukar untuk diberi tanpa sokongan kewangan.

“Peluang telah diberikan Perdana Menteri kepada pembangkang untuk berunding, tapi itu tidak dibuat.

“Soal kewangan memang perkara yang menjadi masalah besar kepada semua Ahli Parlimen dan jika parti tidak mengambil perhatian, siapa lagi nak ambil perhatian?

“Orang suruh berunding, tak runding… apa nak jadi sebenarnya?” katanya seperti dilapor media tempatan.

Pada masa sama, Syed Abu Hussin menjangkakan bahawa, seramai 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu akan memberi sokongan kepada Anwar menjelang pembukaan sidang Parlimen pada 26 Februari ini.

Beliau mendakwa, lima Ahli Parlimen tersebut adalah dari utara, iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak; tiga dari Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang serta dua lagi dari Selangor dan Melaka.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu sudah menyatakan sokongan kepada Anwar, iaitu Syed Abu Hussin, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Moral ahli Bersatu lemah

Dalam perkembangan lain, Syed Abu Hussin menegaskan bahawa moral ahli Bersatu didapati lemah, selepas hasrat untuk melihat parti itu melaksanakan perubahan tidak tercapai.

Syed Abu Hussin berkata, ini selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pusingan U ketika perhimpunan agung parti itu yang berlangsung pada November lalu.

Ketika perhimpunan itu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Sehari selepas itu, Muhyiddin bertindak membuat pusingan U, apabila memaklumkan beliau akan bertanding jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, keputusan Muhyiddin dilihat lebih mengecewakan apabila bekas Perdana Menteri itu sendiri memaklumkan bahawa, ia dibuat atas nasihat daripada isterinya.

“U-turn sebab apa? Ini keputusan besar… hala tuju parti, nak bawa Ahli-Ahli Parlimen membina masa depan negara, tetapi seorang presiden boleh membuat u-turn dengan mudah,” katanya.

Namun, Syed Abu Hussin berkata, beliau sama sekali tidak menyalahkan isteri Muhyiddin atas perkara itu, sebaliknya menekankan bahawa, keputusan itu adalah paling penting sebagai pemimpin parti yang berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Ada berlaku demoralise dalam kalangan sebahagian pemimpin, (mereka) tak tahu ke mana hala tuju sebenar parti,” tambahnya.

Bersatu lebih baik jika dipimpin Hamzah

Pada masa sama, beliau berkata, Bersatu berpeluang menjadi lebih baik sekiranya dipimpin oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Apatah lagi, dakwanya, Hamzah sendiri sudah bersedia memimpin parti itu.

“Secara keseluruhan, kita melihat Ahli Parlimen Larut (Hamzah) mempunyai potensi besar memimpin parti Bersatu dan beliau juga ada kesediaan termasuk kemampuan dan kebolehan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat kem berbeza di antara Muhyiddin dan Hamzah, Syed Hussin enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak mahu mengesahkan, tetapi ada,” katanya lagi.

 

 

Author

Pilihan Editor