HomeSukanGeran, dana KBS perkasa pembangunan belia dan sukan

Geran, dana KBS perkasa pembangunan belia dan sukan

CYBERJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka permohonan geran dan dana bagi penganjuran program dan aktiviti pembangunan belia dan sukan sebagai usaha untuk memperkasa bidang tersebut.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, KBS memaklumkan, usaha itu melibatkan semua pemegang taruh berkaitan seperti badan sukan, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan entiti swasta atau korporat secara inklusif.

Jelasnya, komitmen itu turut merangkumi penyertaan atlet yang mewakili Malaysia ke kejohanan-kejohanan sukan bertaraf antarabangsa seterusnya memberi impak kepada negara.

Menurut kenyataan itu, KBS telah menyediakan beberapa dana untuk diakses oleh pemegang taruh demi kemajuan dan pembangunan belia dan sukan.

Inisiatif itu antara lain adalah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN), iaitu geran bagi menganjurkan program dan aktiviti berkaitan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk penyertaan atlet (termasuk independent athlete) dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Selain itu, Geran Padanan Sukan (GPS) dengan pemberian maksima 50 peratus atau tidak melebihi RM1 juta bagi menganjurkan program dan aktiviti pembangunan sukan.

“Ia termasuklah penganjuran acara sukan di bawah kategori prestasi tinggi, spesifikasi tinggi dan berimpak tinggi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang dilaksanakan di dalam negara,” katanya.

Tambah KBS, Dana Sukan Komuniti (DSK) turut disediakan bagi merakyatkan dan membudayakan sukan ke arah menjadikan Malaysia negara bersukan serta menyokong gaya hidup cergas dan sihat.

Katanya, DSK menganjurkan program dan aktiviti sukan akar umbi merangkumi peringkat negeri, daerah, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), kampung, taman perumahan dan seumpamanya.

Malah, KBS turut menyediakan Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS. sebagai tambahan kepada RM20 juta yang diperuntukkan kepada program Rakan Muda di bawah Belanjawan 2024.

“Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS disediakan khas untuk memacu pelaksanaan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030) melalui penglibatan semua pemegang taruh.

“KBS telah menyediakan bantuan pembiayaan kewangan bagi menganjurkan program dan aktiviti pembangunan belia di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan daerah,” katanya.

Jelas KBS, penyediaan geran dan dana itu juga akan memperkasakan industri sukan melalui penganjuran program-program sukan dan membantu memulihkan ekonomi sektor ini yang telah terkesan akibat wabak Covid-19.

Katanya, permohonan bagi dana-dana tersebut adalah tertakluk kepada terma dan syarat, manakala penganjuran aktiviti berkaitan pembangunan sukan adalah berdasarkan kepada jenis sukan yang tersenarai di dalam Perintah Pembangunan Sukan (Pindaan Jadual Pertama) 2023, Akta Pembangunan Sukan 1997 yang boleh dimuat turun dari laman web KBS.

“Orang ramai boleh melayari laman sesawang KBS di https://www.kbs.gov.my/home bagi memohon secara dalam talian dan mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci,” katanya.

Author

Pilihan Editor