HomeSukanIni salah saya - Pan Gon

Ini salah saya – Pan Gon

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon tidak menyalahkan sesiapa susulan Harimau Malaya tersingkir di peringkat kumpulan Piala Asia 2023.

Sebaliknya, pengendali dari Korea Selatan itu menganggap kesalahan itu adalah datang daripada dirinya yang meletakkan harapan terlalu tinggi untuk pasukan Harimau Malaya.

Justeru, beliau mengambil tanggungjawab terhadap keputusan yang diraih skuad negara sepanjang kejohanan itu yang sedang berlangsung di Qatar.

“Tiada apa yang salah, inilah (tahap) di mana kami berada. Mungkin jurulatih salah, saya memiliki harapan yang sangat tinggi. Saya berikan impian terlalu tinggi. Mungkin saya beri harapan terlampau tinggi kepada orang ramai dan pemain, mungkin silap saya.

“Sebagai jurulatih, ini masalah saya. Bukan daripada pemain, bukan daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), bukan daripada orang ramai. Jadi ini semua masalah jurulatih,” katanya.

Pan Gon berkata demikian pada sidang media selepas Harimau Malaya tewas 0-1 kepada Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E di Stadium Jassim bin Hamad, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara sah tersingkir di peringkat kumpulan meskipun masih berbaki satu perlawanan menentang Korea Selatan di Stadium Janoub, Khamis ini.

Malaysia yang tewas 0-4 kepada Jordan dalam aksi pertama, Selasa lalu menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata dan jaringan.

Mengulas mengenai persembahan pasukannya, Pan Gon menjelaskan bahawa Harimau Malaya tidak berjaya mengawal dan dan mendominasi permainan.

Beliau bagaimanapun memahami kesukaran pemain untuk memberikan saingan terbaik kepada pasukan lain di pentas tinggi seperti Piala Asia yang mana mereka layak secara merit buat kali pertama selepas 43 tahun. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor