HomeBeritaIsteri, dua anak Tun Daim dipanggil beri keterangan di ibu pejabat SPRM...

Isteri, dua anak Tun Daim dipanggil beri keterangan di ibu pejabat SPRM pagi ini

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil isteri dan dua anak Tun Daim Zainudin bagi membantu siasatan rasuah terhadap bekas Menteri Kewangan.

Isteri Daim, Toh Puan Naimah Khalid dan dua anaknya akan memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, pagi ini.

Peguam Daim, Rajesh Nagarajan mengesahkan perkara itu.

“Ya saya boleh sahkan. Kami akan berada di sana sekitar pukul 10.30 pagi untuk diambil keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya,” katanya.

Dalam satu kenyataan kepada media, Rajesh berkata, satu sidang media akan diadakan kira-kira jam 10.15 pagi di luar ibu pejabat SPRM hari ini.

Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Bulan lalu, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, yang dikatakan milik keluarga Daim.

Menara Ilham difahamkan mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cendera mata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor