HomeBeritaIsu Aman Palestin: SPRM siasat transaksi mencurigakan, syarikat berkaitan

Isu Aman Palestin: SPRM siasat transaksi mencurigakan, syarikat berkaitan

 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesahkan kesahihan transaksi syarikat-syarikat yang dipercayai memperolehi dana daripada Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) kerana terdapat banyak perkara yang mencurigakan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, berdasarkan siasatan ke atas senarai syarikat-syarikat yang dihantar badan amal itu, pegawai penyiasat mengesan wujudnya perkara-perkara yang mencurigakan yang memerlukan penelitian mendalam, lapor Astro Awani.

“Itu yang menimbulkan kesulitan kerana mereka (Aman Palestin) mendakwa mereka telah hantar (sumbangan). Tapi isunya siapa penerima? Betul atau tidak?

“Itu yang perlu kita sahkan. Ini memang perkara-perkara yang perlu disiasat dengan teliti oleh pegawai-pegawai kita.

“Sebab itu kita perlu mengambil sedikit masa dan wang yang masih ada dalam bank kita perlu sita,” katanya kepada pemberita selepas Simposium Tata Kelola Baik Nasional 2024 di sini, pada Isnin.

Majlis yang diadakan serentak dengan peluncuran Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini media melaporkan SPRM mendapati penyaluran dana awam kepada Aman Palestin ada yang digunakan untuk membeli aset atas nama syarikat proksi.

Penyaluran dana pelaburan itu dipercayai kepada syarikat proksi dan pembelian aset atas nama proksi.

Author

Pilihan Editor