HomeBeritaKadar pengangguran belia turun, kerja tidak formal naik

Kadar pengangguran belia turun, kerja tidak formal naik

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran belia berkurangan selepas jumlah pekerjaan tidak formal mencecah paras tertinggi baharu pada November 2023, demikian menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank IB, Suhaimi Ilias, berkata pengangguran belia susut kepada 10.6 peratus pada November 2023, manakala kadar pekerjaan tidak formal berada pada kemuncak 2.994 juta pada bulan dikaji.

“Pengangguran belia berada pada 10.6 peratus daripada 10.7 peratus pada Oktober dan kelihatan ‘terperangkap’ dalam julat 10.6 hingga 10.8 peratus sejak Ogos 2023 dan masih melebihi paras sebelum pandemik iaitu 9.9 peratus pada Disember 2019.

“Pekerjaan tidak formal iaitu ‘pekerja akaun sendiri’ – mereka berpendapatan harian termasuk peniaga kecil, penjaja, pekebun kecil dan pekerja gig meningkat sejak Januari 2021 (2.39 juta) dan mencapai puncak baharu (2.994 juta) pada November 2023 (Oktober : 2.985 juta).

“Pertumbuhan dalam pekerjaan tidak formal dalam tempoh 11 bulan 2023 meningkat 6.6 peratus mengatasi jumlah pertumbuhan guna tenaga dalam tempoh sama sebanyak 2.4 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.

Suhaimi berkata, memandangkan kadar pengangguran 11 bulan 2023 sebanyak 3.4 peratus, ia memberi gambaran bahawa kadar setahun penuh berkemungkinan berada pada angka sama.

“Kadar pengangguran setahun penuh 2023 berkemungkinan berada pada 3.4 peratus berbanding unjuran kami 3.5 peratus dan kekal stabil pada 3.4 peratus pada tahun ini,” katanya.

Kadar pengangguran menurun kepada 3.3 peratus pada November 2023, selepas lima bulan berturut-turut mencatat paras 3.4 peratus, sekali gus menyaksikan ia kembali ke tahap sebelum pandemik.

Ia disokong pertumbuhan guna tenaga terus melepasi pertumbuhan tenaga buruh, manakala bilangan penganggur susut sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan pekerjaan pada November 2023 terus berkembang dalam sektor Perkhidmatan, khususnya dalam Maklumat & Komunikasi, Makanan & Minuman dan Aktiviti Pengangkutan & Penyimpanan serta sektor Pembuatan, Pembinaan dan Perlombongan & Kuari walaupun pekerjaan dalam Sektor pertanian merosot.

Berdasarkan statistik pembuatan bulanan terkini setakat Oktober 2023, terdapat peningkatan dalam pertumbuhan guna tenaga pembuatan kepada 2.5 peratus dan upah & gaji (3.4 peratus).

Sementara itu, penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin, berkata pasaran buruh mengekalkan momentum positifnya, menyaksikan peningkatan yang konsisten dalam pekerjaan di seluruh negara.

“Pertumbuhan guna tenaga menokok 2.0 peratus tahun ke tahun dan 0.2 peratus bulan ke bulan pada November 2023, menghasilkan jumlah tenaga kerja seramai 16.43 juta individu.

“Bilangan penganggur meneruskan penurunannya, apabila susut kepada 581,900 individu berbanding 620,100 orang pada November 2022 sekali gus menghampiri tahap sebelum pandemik 2019 sebanyak 519,000 orang.

“Purata kadar pengangguran untuk 11 bulan 2023 sejajar dengan ramalan kami sebanyak 3.4 peratus, menunjukkan peningkatan daripada 3.8 peratus yang dicatatkan pada 2022 dan kadar 4.6 peratus yang dicatatkan pada 2021,” katanya.

Farid berkata, kejayaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) dijangka menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan pasaran buruh negara.

“Sehingga Oktober 2023, kira-kira 518,000 pendatang tanpa izin telah diberikan permit kerja baharu di bawah RTK 2.0, menyepadukan mereka ke dalam sektor utama seperti pembuatan, pembinaan, pertanian, pertanian dan perkhidmatan.

“Secara perbandingan, RTK 1.0 sebelum ini, beroperasi dari November 2020 hingga Disember 2022, menyaksikan pendaftaran 418,649 pendatang tanpa izin, membabitkan 30,137 majikan.

“Kesan kumulatif kedua-dua program menggariskan usaha bersepadu untuk memutihkan pekerjaan bagi pendatang tanpa izin, memupuk persekitaran pasaran buruh yang lebih terkawal dan inklusif,” katanya.

Dalam nota penyelidikan, Affin Hwang Investment Bank berkata, menuju ke hadapan bank pelaburan itu percaya pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh permintaan domestik daripada kedua-dua penggunaan swasta dan aktiviti pelaburan, memberikan sedikit sokongan daripada ketidaktentuan dalam kadar dasar monetari global yang ‘lebih tinggi dan lebih lama’, serta potensi peningkatan ketegangan geopolitik.

“Namun begitu, kami percaya momentum pertumbuhan global dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini berikutan jangkaan pemulihan dalam aktiviti perdagangan global di tengah-tengah kelonggaran dasar monetari global.

“Oleh itu, pasaran buruh Malaysia dijangka kekal stabil, dengan pertumbuhan guna tenaga dalam sektor pembuatan, khususnya industri berorientasikan eksport, diunjurkan bertambah baik seiring dengan pemulihan perdagangan global.

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan kadar pengangguran negara akan kekal stabil sekitar 3.3 peratus sepanjang 2024 (dianggarkan 3.3 peratus pada akhir 2023),” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor