HomeSukanKBS sasar 3,500 peserta pada Kejohanan Cabaran Sukan Wanita

KBS sasar 3,500 peserta pada Kejohanan Cabaran Sukan Wanita

KAJANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan seramai 3,500 peserta pada Kejohanan Cabaran Sukan Wanita Peringkat Kebangsaan, yang merangkumi peringkat zon dan kebangsaan pada 12 hingga 14 Januari ini.

Adam Adli (tengah) mengibarkan bendera bagi menyempurnakan majlis pelancaran kejohanan tersebut.

Kejohanan itu merupakan kemuncak kepada Cabaran Sukan Wanita menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Badan-badan Sukan (Persatuan Bola Jaring Malaysia, Persatuan Bola Baling Malaysia dan Kelab Bola Tampar Ace) di bawah inisiatif Wanita Dalam dan sudah bermula di peringkat zon mulai Julai hingga November 2023.

Adam Adli bergambar bersama antara 3,500 peserta Kejohanan Cabaran Sukan Wanita Peringkat Kebangsaan di Sports Arena @ Uniten, dekat Kajang, Selangor pada Jumaat.

KBS menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan, kejohanan itu mempertandingkan empat acara sukan iaitu bola jaring, bola baling, bola tampar dan e-sukan (Mobile Legends: Bang Bang).

Menurutnya, objektif penganjuran kejohanan itu antara lain bertujuan menyerlah dan memperkasakan potensi bakat sukan, terutamanya dalam kalangan wanita di peringkat akar umbi dan komuniti.

Kontinjen zon Timur turut mempertaruhkan bakat-bakat wanita yang berpotensi dalam kejohanan berkenaan.

Selain itu, ia juga dianjurkan bagi menyemai pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat, terutamanya wanita bagi menyokong visi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (sporting nation).

Kontinjen zon utara teruja menyertai Kejohanan Cabaran Sukan Wanita Peringkat Kebangsaan.

Tambahnya, kejohanan itu bertujuan meningkatkan akses dan merakyatkan sukan dalam kalangan wanita menerusi amalan gaya hidup aktif dan sihat.

“Ia juga memperkasakan pembangunan sukan untuk semua, terutamanya dalam kalangan wanita seiring dengan kerangka Malaysia Madani, Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) dan Pelan Tindakan Wanita dalam Sukan 2021-2025.

“Objektif penganjuran juga bagi mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti serta bertindak sebagai langkah intervensi sosial bagi mengelakkan gejala negatif, terutamanya melibatkan belia dan anak muda khususnya dalam kalangan wanita,” katanya.

Kontinjen zon tengah menampilkan jersi campuran merah jambu dan putih pada kejohanan tersebut.

Pemenang setiap acara sukan bakal membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil, manakala majlis penutup dijadual berlangsung pada jam 3 petang pada 14 Januari ini di Sports Arena @ Uniten, di sini.

Datang dari jauh. Kontinjen zon Sabah antara yang gigih merebut gelaran juara bagi setiap permainan pada kejohanan itu.

Sebarang maklumat lanjut berhubung penganjuran kejohanan, sila hubungi JBSN di talian 03-8871 3242 atau e-mel jbsn@kbs.gov.my.

Adam Adli

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim menyempurnakan majlis pembukaan kejohanan itu di Sports Arena @ Uniten, di sini pada Jumaat.

Turut hadir pada majlis sama adalah Ketua Setiausaha KBS, Tan Sri Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah JBSN, Mohd Azhari Mohammad.

 

Author

Pilihan Editor