CYBERJAYA: Wang berjumlah RM29,313 milik seorang pelakon wanita, Dynas Mokhtar hilang selepas dikeluarkan daripada akaun bank tanpa pengetahuannya.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor yang menyatakan bahawa, sebanyak 11 transaksi dibuat pada 8 hingga 12 Januari lalu.
Menurut Amihizam, mangsa hanya menyedari wang miliknya itu hilang semasa membuat semakan penyata akaun pada Sabtu lalu.
Berdasarkan siasatan awal, katanya, mangsa yang membuat semakan penyata akaun peribadi pada Sabtu lalu terkejut, apabila mendapati terdapat 11 transaksi pengeluaran wang dilakukan bermula 8 Januari tanpa pengetahuannya.
“Mangsa membuat laporan polis menafikan dan menyatakan tidak pernah memberikan butiran peribadi perbankan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Amihizam berkata, mangsa turut menafikan ada menerima mahupun berkongsi kata laluan sekali (OTP), membabitkan semua transaksi berkenaan kepada mana-mana pihak.
Jelasnya, polis turut mengesan kenyataan dikeluarkan mangsa menerusi satu video tular yang dimuat naik di media sosial mendakwa, wang simpanannya tiba-tiba lesap tanpa pengetahuannya.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Capaian Tanpa Kuasa).
“Orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes ini,” katanya.
Tambah beliau, sebarang maklumat lain berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan, boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585.