CYBERJAYA: Seorang lelaki menzahirkan kesyukuran apabila kos pembedahan dan rawatan isterinya yang dimasukkan ke hospital kerajaan selama 26 hari hanya dikenakan sebanyak RM258 sahaja.
Menerusi hantaran di Facebook Lee Vi Hua, dia turut bersyukur apabila pembedahan isterinya berjalan lancar.
Menurut Vi Hua, isterinya mula mengalami sakit kepala yang teruk sejak Disember lalu sebelum dirawat dengan ubat penahan sakit di klinik.
Oleh kerana isterinya mengalami ketidakselesaan berterusan, Vi Hua membawa isterinya ke hospital swasta lalu dimaklumkan tentang pendarahan otak yang kritikal.
“Doktor beritahu isteri perlu menjalani prosedur ‘coiling’ otak dengan segera yang mana rawatan itu tidak ada di hospital swasta dan sesetengah hospital swasta sahaja.
“Jadi pada mulanya saya memilih untuk meneruskan pembedahan di sebuah hospital swasta di mana kos pembedahan dianggarkan RM150,000.
“Tetapi rancangan berubah apabila isteri disahkan positif Covid-19 pada 17 Disember, yang memerlukan pemindahan ke hospital kerajaan di Johor Bahru,” tulisnya.
Tambahnya lagi, pada 23 Disember, mereka berdepan dengan satu lagi cabaran apabila doktor pembedahan dari kedua-dua hospital swasta dan kerajaan sedang bercuti.
Namun, pada 7 Januari lalu, isterinya akhirnya menjalani pembedahan dan dibenarkan keluar dari hospital selepas dua hari kemudian.
“Pembedahan itu berjaya, dan pengalaman pahit itu akhirnya berakhir selepas perjuangan selama 26 hari.
“Selepas tiga bulan tinggal di hospital dan pembedahan oleh pasukan doktor terbaik, saya terkejut bayaran kami hanya RM258 ketika mendaftar keluar.
“Malaysia sememangnya mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang paling mesra untuk rakyatnya. Sekiranya kami memilih hospital swasta, kosnya mungkin sekurang-kurangnya 1000 kali lebih tinggi,” ungkapnya.