KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki selepas membuat rakaman video upskirt atau dari bawah skirt, ketika sebuah acara berlangsung di sebuah pasar raya di Bukit Jalil, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis menerima tiga laporan berhubung tindakan lelaki berusia 33 tahun itu yang membuat rakaman menggunakan telefon bimbitnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, pengadu yang juga seorang wanita tempatan dimaklumkan oleh orang awam bahawa, suspek membuat rakaman video tidak sopan menggunakan telefon bimbit dari bawah pentas.
“Seterusnya rakan pengadu bersama orang awam berjaya mengesan dan menahan suspek di dalam kawasan pasar raya itu lalu menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Zam Halim berkata, bertindak atas laporan, sepasukan anggota Pencegahan Jenayah Balai Polis Bukit Jalil tiba di lokasi dan menahan semula suspek pada jam 11.15 malam.
Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga 22 Januari ini bagi siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.