SUNGAI PETANI: Lima beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh tiang elektrik berdekatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal jenis Duke KTM, Mohd. Norzianal Mohd. Ainol, 46, mahu mengelak seekor babi yang melintas.
Kemalangan mengakibatkan Mohd. Norzianal dan isterinya, Suhana Othman, 43, maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Anak sulung pasangan itu, Fatin Hanani, 23, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa ibu bapanya selepas dimaklumkan anggota polis yang datang ke rumah sewa mereka di Taman Pahlawan di belakang IPD Kuala Muda.
Katanya, pada mulanya dia tidak percaya selepas anggota polis terbabit menunjukkan MyKad ibu bapanya.
“Kami kemudian dibawa ke lokasi kejadian yang terletak tidak jauh dari rumah dan melihat bapa di bawah motosikal manakala ibu terbaring tidak sedarkan diri di sebelahnya.
“Saya dan adik-adik hampir rebah melihat keadaan mereka tambahan selepas dimaklumkan yang ibu bapa kami telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini semalam.
Menurut Fatin, ekoran kejadian itu dia dan adik-adiknya iaitu Aida Batrisya, 17; Alya Batrisya, 16; Adlin Irfan,15, dan Adib Iman, 6, bagaikan hilang arah kerana hilang tempat bergantung.
Sementara itu, Aida Batrisya berkata, bapanya yang bekerja sebagai pengurus jualan dalam perjalanan untuk membeli makanan sambil ditemani ibunya yang merupakan suri rumah.
“Sebelum itu bapa mengadu lapar. Tak sangka kami akan menjadi yatim piatu sekelip mata,” ujarnya. – Kosmo!