CYBERJAYA: Usaha kerajaan bagi memastikan tandas sekolah diselenggara demi keselesaan pelajar dilihat mendapat sambutan warga sekolah.
Antara yang tampil berkongsi semula foto dan video memaparkan tandas murid yang sudah dinaik taraf di sekolah adalah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.
Anuar menyifatkan keadaan tandas sekolah itu sebagai cantik dan selesa, malah ada yang tidak ubah seperti tandas rumah.
“Tidak lagi seperti keadaan tandas zaman saya sekolah dahulu. Dulu memang busuk, kotor dan gelap. Banyak yang tersumbat dan lantai tandas sentiasa digenangi air kotor.
“Tahniah pada PMX yang memulakan usaha ini. Tahniah pada pengurusan KPM yang telah memastikan usaha ini berjaya disiapkan. Setahun sahaja dah siap seperti yang dirancang.
“Semoga murid-murid kita akan gembira dan selesa menggunakan tandas mereka yang serba baru ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Di sebalik keindahan tandas tersebut, Anuar turut meluahkan kebimbangan yang sama seperti dikongsikan dalam kalangan guru-guru.
Beliau berkata, sifat cantik pada tandas sekolah hanyalah bersifat aksesori, yang mana pelaksanaannya adalah tidak wajib.
Jelasnya, keadaan di tandas sekolah lebih baik sekiranya wujud sifat cantik termasuk pemasangan jubin lantai, dinding berwarna-warni, lampu hiasan, hiasan dinding, pokok hiasan dan cermin muka.
Namun, katanya, apa yang lebih penting adalah material tandas sekolah perlulah bersifat ‘heavyduty‘ (tahan lasak), tahan karat dan mudah peroleh barang gantian murah.
Tambahnya, prinsip asas tandas sekolah juga perlu bersih dan kemas manakala semua peralatan seperti sinki, paip, pam tandas, pintu dan lampu berfungsi dengan baik untuk kegunaan murid-murid.
“Lubang tandas juga mestilah tidak tersumbat. Paling utama, bekalan air bersih mestilah sentiasa mencukupi di tandas sekolah,” katanya.
Khuathir aktiviti vandalisme tandas
Apatah lagi, Anuar berkata, bilangan murid yang menggunakan tandas sekolah adalah ramai, yang mana setiap seorang daripadanya menggunakannya dengan pelbagai cara termasuk secara tertib dan kasar.
Lebih membimbangkan, katanya, ada yang terlibat dengan aktiviti vandalisme di tandas.
“Sebab itu, ketahanan material menjadi kriteria utama untuk digunakan di tandas sekolah.
“Harapnya tandas yang cantik akan bertahan selama yang boleh. Janganlah kerana ‘banyak tangan’ nanti ada pula kepala paip yang patah, sinki yang pecah atau cermin muka yang retak walaupun baru sahaja digunakan.
“Sekarang ini memang banyak benda yang nampak cantik tapi tak tahan lasak,” jelasnya.
Julai tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah.
Justeru, Menterinya, Fadhlina Sidek dilapor berkata, sebanyak RM70,000 peruntukan diagihkan kepada setiap sekolah di seluruh negara.