HomeBeritaMayat wanita tanpa kepala bukan Bella - KP Melaka

Mayat wanita tanpa kepala bukan Bella – KP Melaka

MELAKA: Polis negeri mengesahkan mayat wanita dibunuh kejam dengan anggota badannya dipotong-potong bukan Bella atau Mira Sharmila Samsusah, 34, yang dilaporkan hilang di Batu Pahat, Johor pada 14 Disember lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, perbandingan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bersangkut laporan orang hilang di Batu Pahat iaitu Bella dan seorang lagi individu di Gemencheh, Negeri Sembilan adalah tidak sepadan.

“Kita mengesahkan mayat wanita ditemui orang ramai pada 31 Disember lalu dalam keadaan bogel tanpa anggota badan yang lengkap bukanlah Bella.

“Spesimen DNA turut dihantar ke Bahagian D13 (Data Bank/ DNA), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman untuk dibuat semakan dengan kes-kes lain yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Tambahnya, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengesan identiti si mati dan orang ramai yang mempunyai maklumat dipohon untuk tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian 06-5562222.

Sebelum ini media melaporkan Bella yang juga seorang ibu tunggal dua anak, hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Soga, Batu Pahat untuk ke kedai dobi bersama teman lelakinya dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna putih.

Dia kemudiannya gagal dihubungi dan keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis pada 16 Disember lalu.

Pada Sabtu lalu pula, mayat seorang wanita ditemui dibunuh kejam apabila anggota badannya dipotong-potong sebelum mayatnya dalam keadaan bogel dibuang di dalam longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang di Alor Gajah.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an itu dijumpai orang awam dalam keadaan tanpa kepala, kaki dan tangan di dalam tong sampah di longkang berkenaan. 

Author

Pilihan Editor