CYBERJAYA: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan sekeras-kerasnya hantaran disunting, yang memaparkan dirinya menggesa orang ramai memboikot sebuah syarikat penyelia e-hailing.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, penularan kenyataan itu bersifat fitnah dan berniat jahat bagi menutup kegagalan kerajaan dalam menyelesaikan masalah asas yang membelenggu para pekerja e-hailing dan p-hailing.
“Menteri Kewangan merupakan ‘pengatur kewangan’ yang sangat berkuasa melalui agensi-agensi di bawahnya.
“Gunakan kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan seperti mana yang telah digunakan ke atas syarikat-syarikat lain, bagi menyelesaikan masalah berkepentingan awam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran mengaitkan Wan Ahmad Fayhsal mendakwa kononnya beliau pernah mengajak boikot sebuah syarikat penyelia e-hailing yang dikatakan menyokong Zionis manakala penunggang p-hailing wajib mencari pekerjaan lain.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal memberi tempoh 24 jam kepada individu terbabit untuk menurunkan hantaran palsu itu selain membuat permohonan maaf.
Jelasnya, sekiranya hantaran itu tidak diturunkan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal turut berkongsi tangkap layar memaparkan perbualannya dengan individu yang bertanggungjawab membuat hantaran tersebut.
Berdasarkan tangkap layar itu, individu tersebut memaklumkan bahawa, hantaran berkenaan sudah pun dipadamkan serta membuat permohonan maaf secara peribadi kepada Ahli Parlimen terbabit.