KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya mengambil tindakan menurunkan dan melarang tayangan dokumentari bertajuk ‘Man On The Run’ dalam perkhidmatan aplikasi kandungan, Netflix.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak yang diwawancara dalam dokumentari itu menyatakan pelbagai perkara terhadap anak guam yang antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah.
Katanya, ia juga belum dan tidak pernah dibuktikan sama ada melalui keterangan dokumentari dan lisan saksi yang dikemukakan dalam mana-mana perbicaraan termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Filem dokumentari ‘Man on the Run’ ditayangkan di Netflix melonjak ke tempat kedua dalam 10 Filem Terbaik platform penstriman di Malaysia.
Dokumentari mengenai 1MDB yang memberi penerangan tentang dakwaan bekas perdana menteri itu mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) ditayangkan pada 5 Januari. – Harian Metro