PENGASAS Neuralink, Elon Musk mengumumkan buat julung kali, pihaknya berjaya melakukan prosedur implan mikrocip dalam otak manusia.
Menurut Musk, syarikat neuroteknologi itu melakukan kraniektomi untuk memasukkan peranti berkenaan pada seorang pesakit yang tidak didedahkan namanya, lapor Daily Mail.
Tambanya, pesakit yang menerima mikrocip dinamakan Telepathy kini stabil dan semakin pulih.
“Individu pertama menerima implan dari Neuralink pada Ahad lalu dan dia kini semakin pulih.
“Keputusan awal menunjukkan pengesanan spike neuron yang menjanjikan,” katanya.
Pada masa sama, Musk turut berharap prosedur berkenaan dapat membantu individu menghidap penyakit saraf yang menyebabkan mereka tidak boleh bergerak mahupun bercakap.
“Pengguna awal merupakan individu mengalami kecacatan atau lumpuh semua anggota badan.
“Bayangkan jika pakar fizik terkemuka, Stephen Hawking boleh berkomunikasi lebih pantas berbanding jurutaip atau jurulelong. Itulah matlamat yang mahu kami capai,” ujarnya.
Berita kejayaan Neuralink menjalankan prosedur memasukkan Telepathy pada otak manusia dikongsikan oleh Musk di aplikasi X.
The first human received an implant from @Neuralink yesterday and is recovering well.
Initial results show promising neuron spike detection.
— Elon Musk (@elonmusk) January 29, 2024