CYBERJAYA: Pangkalan Data Utama (PADU) berjaya meraih lebih sejuta pendaftaran setakat pagi Selasa, meskipun baru lapan hari dilancarkan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi hantaran di laman X pada Selasa berkata, angka itu merangkumi kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
“Seluruh jentera kerajaan turun membantu untuk memastikan kita meminimumkan risiko keciciran dalam pelaksanaan subsidi bersasar melalui pendaftaran #PADU.
“Teruskan momentum untuk beralih ke bantuan bersasar,” tulisnya.
Rafizi turut memohon kerjasama rakyat yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian melalui http://padu.gov.my.
Malah, beliau turut memohon kerjasama orang ramai bagi membantu individu yang kurang mahir digital untuk mendaftar, termasuk ibu bapa, keluarga dan jiran.
Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai mulai 2 Januari lalu hingga 31 Mac ini, dengan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.
Ia bertujuan meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber, terutama pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak.