JIKA menaiki lif di pusat membeli-belah atau bangunan kediaman seperti apartment, kondominium dan sebagainya, anda pasti pernah melihat angka ‘3A’ digunakan sebagai ganti bagi nombor 4.
Hal ini seringkali dikaitkan dengan kaum Cina yang rata-ratanya mempercayai nombor 4 membawa malang dalam kehidupan.
Jika sebelum ini penggantian nombor 4 dengan 3A tidak menjadi isu namun, baru-baru ini seorang lelaki tampil menyuarakan impak yang berlaku atas penggantian angka terbabit.
Taqiuddin Tabarani dalam hantaran di Facebook menyatakan bahawa penggunaan 3A pada bangunan kediaman hanya menyukarkan kanak-kanak untuk mengenali turutan nombor.
“Kenapa tingkat ni tingkat 13A, mana pergi 4?
“Nampak macam kelakar kan, tapi bayangkan, di tadika dan pra sekolah cikgu ajar 4, balik rumah jadi 3A.
“Jadi mana satu yang boleh diterima pakai? Budak sekarang semakin pandai. Tak mustahil satu hari nanti isu ni akan naik,” tulisnya.
Menerusi hantaran lain, Taqiuddin yang mesra disapa sebagai Abang Tanjak turut berkongsi beberapa insiden yang dialaminya.
“Kenapa Abang Tanjak suarakan isu ni? Sebab ada beberapa kes yang Abang Tanjak hadapi dalam lif dengan adik-adik sekolah rendah yang balik sekolah nak naik ke tingkat rumah.
“Mana 24 ni, emm ni 23, ni 23A.. 24 takde pun?,” bebel budak sekolah tu.
“Ni dik, 23A. Sama dengan 24. Tapi tak tahu kenapa 23A. Adik tekan je ok?
“Nampak tak, kekeliruan ni memang menjegkelkan. Kadang ada pakcik-pakcik yang cuba tekan nombor tak terjumpa.
“Sebab sistem kita dah biasa 4 bukan 3A. Lagipun mana ada dalam pengenalan nombor di dunia ni ada 3A gantikan 4,” kongsinya.
Dalam pada itu, Taqiuddin turun menegaskan bahawa dalam penulisan kaligrafi kaum Cina juga tidak digantikan nombor 4 dengan angka 3A.
Justeru, dia berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu berkenaan.