CYBERJAYA: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mempertahankan prosedur operasi standard (SOP) pengambilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia ada.
Ayob berkata, SOP tersebut tidak perlu diteliti semula memandangkan ia sudah lengkap.
“Dari segi SOP pengambilan (anggota) sudah lengkap, kebanyakan mereka ini sebelum masuk polis dulu baik.
“Mungkin selepas masuk (dan merasai) persekitaran tersebut, dugaan cabaran itu besar, jadi mereka tergoda, selepas itu terlibat (salah laku),” katanya seperti dilapor Kosmo! Online.
Menurutnya, penyeliaan yang terbaik daripada pegawai yang dilantik mampu mengelakkan kes anggota polis terlibat dalam kes salah laku bertambah.
“Penyeliaan dan tindakan tanpa tolak ansur itu dapat kekang pegawai dan anggota yang berniat terlibat dalam kes salah laku,” jelasnya.
Tegasnya, pihaknya tidak tolak ansur terhadap anggota atau pegawai polis yang terlibat dalam kes salah laku.
“Saya sudah ingatkan banyak kali dan berkongsi banyak tangkapan, kita tengok sekarang ini jika ada terlibat, kita akan tangkap dan akan tuduh di mahkamah.
“Bagi saya yang terlibat ini walaupun jumlah sedikit beberapa peratus sahaja inilah yang mencemarkan imej PDRM keseluruhannya,” tegasnya.