CYBERJAYA: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) sama sekali tidak menyokong kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mempersoal tahap kesetiaan masyarakat India di negara ini.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, parti itu sudah pun menyuarakan bantahan terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri tersebut ketika mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Jumaat.
“Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan pimpinan PN juga tidak menyatakan sokongan kenyataan dikeluarkan Dr Mahathir,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Terdahulu, Lau dilapor berkata, kebanyakan pemimpin PN yang hadir ketika mesyuarat itu berpendapat, kenyataan Dr Mahathir adalah tidak sesuai.
Sebelum ini, Dr Mahathir dilapor mendakwa, masyarakat India masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.
Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.
Sementara itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menyebut sebarang bantahan terhadap kenyataan Dr Mahathir, ketika mengeluarkan kenyataan berhubung mesyuarat pada Jumaat.
Sebaliknya, Hamzah menerusi kenyataan pada Sabtu memaklumkan pelantikan Ketua Pemuda PN baharu, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Selain itu, Hamzah turut membangkitkan situasi terkini beban sara hidup semakin mendesak termasuk isu kenaikan tarif air.