HomeBeritaPolitik'Rakyat India kurang setia kecuali kroni dia', Anwar sindir Dr M

‘Rakyat India kurang setia kecuali kroni dia’, Anwar sindir Dr M

SERDANG: Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kesetiaan masyarakat India dan Cina terhadap Malaysia dikecam beberapa pemimpin politik negara ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kesetiaan kedua-dua kaum itu tidak boleh dinilai hanya bersandarkan kepada amalan kumpulan itu, yang bertutur dalama bahasa ibunda atau menganuti budaya dan adat sendiri.

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr P Ramasamy berkata, Dr Mahathir tidak layak untuk menegur kaum India sebagai tidak setia, sedangkan beliau yang didakwa bertanggungjawab terhadap perpecahan etnik, agama dan sosial.

Turut membidas kenyataan itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai sudah tidak relevan, serta tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri yang berkhidmat paling lama di negara ini.

Beliau turut membuat sindiran terhadap Dr Mahathir, yang didakwa memiliki kroni India dan Cina yang ‘setia’ kepada negara selama ini.

“Saya tidak anggap kenyataan Dr Mahathir itu relevan dan tidak bertanggungjawab daripada mantan Perdana Menteri sekian lama dan kemudian menghina mana-mana kaum sama ada majoriti atau minoriti.

“Dia memang terkenal Melayu baginya malas melainkan dia, India dan Cina dianggap kurang setia kecuali beberapa kroni dia.

“Saya ingat kenyataan itu kita bantah keras sangat tidak bertanggungjawab.

“Bagi saya semua rakyat adalah setia dan kita harus hormati dan kita harus mendakap keseluruhan kekuatan rakyat dan tuju soal pokok,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, pada Selasa.

AI Untuk Rakyat adalah program pembelajaran kendiri dalam talian, direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.

Dr Mahathir sebelum ini dilapor mendakwa masyarakat India di negara ini masih tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia, berikutan mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Author

Pilihan Editor