HomeBerita'Sambut tahun baharu, tapi mentaliti masih di kelas ketiga'

‘Sambut tahun baharu, tapi mentaliti masih di kelas ketiga’

ORANG ramai dari seluruh pelosok dunia sudah tentu teruja menyambut ambang tahun baharu pada awal pagi Isnin.

Masakan tidak, 2024 merupakan tahun permulaan buat setiap individu yang memasang azam untuk lebih berjaya dan mengecapi impian masing-masing.

Namun, di sebalik kemeriahan tahun baharu itu, masih ada segelintir pihak yang seolah-olah memiliki mentaliti kelas ketiga dan berfikir di takuk lama apabila bertindak mengotorkan alam sekitar.

Berdasarkan perkongsian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di laman Facebook, permulaan tahun baharu dilihat agak mengecewakan, selepas sesetengah warga kota membuang sampah merata-rata sekali gus mencemarkan pemandangan di sekitar ibu negara.

“Membuang sampah sesuka hati dengan anggapan ‘pandai-pandai la DBKL bersihkan nanti.

“Peliknya, kita masih nak bandingkan Kuala Lumpur dengan bandar-bandar di negara yang lain dari segi keindahannya?

“Kena tengoklah bagaimana sikap warga mereka dalam soal kebersihan,” tegur DBKL.

Sampah makanan berselerakan di bahu jalan di sekitar ibu negara ketika sambutan ambang merdeka pada Isnin pagi. -Foto: DBKL

Jelas DBKL, pihaknya tidak meminta orang awam untuk membersihkan kawasan yang dipenuhi sampah.

Sebaliknya, mereka dinasihatkan supaya mengurus sampah masing-masing dengan cara tidak membuangnya secara merata-rata serta membawa plastik sampah.

Terdahulu, media tempatan melaporkan sebanyak 3.06 tan sampah dikutip di tiga lokasi yang menjadi tumpuan warga kota menyambut ambang tahun baharu 2024.

Operasi pembersihan yang tamat jam 6 pagi Isnin itu membabitkan 128 petugas Alam Flora, yang dipecahkan ke lokasi iaitu Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan pekarangan KLCC.

Pengurus Kawasan Perkhidmatan Kuala Lumpur (Selatan) Alam Flora, Saiful Azim Saad dilapor berkata, Bukit Bintang mencatatkan kutipan sampah paling tinggi iaitu sebanyak 1.98 tan, diikuti Dataran Merdeka dengan 0.79 tan manakala pekarangan KLCC pula 0.29 tan.

Beliau berkata, kebanyakan sampah dikutip merupakan sisa bungkusan makanan yang ditinggalkan di lokasi selepas acara selesai.

 

Author

Pilihan Editor