PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara sarkastik beriltizam untuk meneruskan usaha membunuh sukan bola sepak di Malaysia.
Tunku Ismail menerusi hantaran di InstaStory turut mencabar semua pihak untuk menghentikan dominasi JDT dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada masa hadapan.
“Sebagai pembunuh bola sepak tanah air dari dulu, saya dah banyak kali katakan yang saya akan terus membunuh bola sepak tanah air.
“Dah 11 tahun saya merosakkan bola sepak tanah air dalam setiap aspek. Saya menyeru kepada penyokong bola sepak tanah air bersatu padu dan beramai ramai hentikan agenda saya ini. Terima kasih dan semoga berjaya,” tulisnya pada Rabu.
Status Tunku Ismail itu dipercayai berkait dengan komen tular di media sosial yang mendakwa JDT telah membunuh bola sepak negara, susulan kekalahan Harimau Malaya ke atas Bahrain baru-baru ini.
Sebelum ini, JDT meluaskan penguasaan mereka dalam saingan Liga-M apabila meraih double quadruple, selepas mengulangi kejayaan muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Skuad Harimau Selatan itu menamatkan saingan Liga Super 2023 dengan 76 mata hasil 25 kemenangan, seri sekali selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan.
JDT turut mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan 100 jaringan semusim dan hanya dibolosi tujuh kali dalam saingan Liga Super 2023.
Pasukan itu juga sedang rancak membawa masuk pemain import baharu apabila sudah menandatangani Jalil Elias (import termahal Liga-M), Francisco Geraldes dan Murilo Henrique.