HomeBeritaPolitik'Sibuk nak tindas musuh politik, masalah rakyat tak selesai'

‘Sibuk nak tindas musuh politik, masalah rakyat tak selesai’

CYBERJAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kesal apabila kehidupan rakyat dilihat semakin sukar, setelah lebih setahun pemerintahan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setakat ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau tidak melihat kemampuan Perdana Menteri memberi penyelesaian tuntas kepada masalah rakyat yang kian meruncing.

“Sebaliknya, beliau nampaknya lebih sibuk memastikan musuh-musuh politik ditindas, daripada menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat. Bertabahlah rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Perkara tersebut berbangkit ketika Toh Puan Na’imah Khalid iaitu isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa di mahkamah pada Selasa, atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang diberikan kepadanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Selain itu, Mirzan Mahathir yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi notis oleh SPRM untuk mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya, sama ada di dalam atau di luar negara.

Menurut Muhyiddin, antara isu yang perlu dititikberatkan adalah sektor ekonomi di negara ini, yang mana pada ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh 26 tahun iaitu RM4.728 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

Sementara itu, katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu hanya berkembang pada kadar 3.8 peratus, seterusnya menyaksikan kegagalan mencapai sasaran pada 4 hingga 5 peratus seperti yang diunjurkan sebelum ini.

“Jumlah dagangan Malaysia juga terus menjunam pada Disember tahun lalu apabila merekodkan kemerosotan untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Mac 2023.

“Jumlah dagangan negara pada Disember 2023 menurun 4.3 peratus kepada RM225.1 bilion, berbanding RM231 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.

Jelas Muhyiddin, rakyat juga dijangka semakin terbeban dengan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta cukai-cukai baharu seperti Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar antara 5 hingga 10 peratus, dan Cukai Barangan Bernilai Rendah yang dijual secara dalam talian pada kadar 10 peratus.

Katanya, turut menjadi beban rakyat termasuk kenaikan tarif elektrik bermula bulan ini dan penarikan balik subsidi pukal yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Malah, katanya, kerajaan dilihat seolah-olah tidak mengendahkan rungutan rakyat, berhubung kekurangan beras tempatan di pasaran yang berlarutan sejak sekian lama.

Tambahnya, hasil tinjauannya di beberapa tempat mendapati, rakyat masih sukar memperoleh beras tempatan yang sepatutnya dibekalkan pada kadar 70 peratus.

“Sasaran menoktah kemiskinan juga umpama menanam tebu di bibir. Ia masih gagal menjadi kenyataan.

“Walaupun kerajaan berbangga dengan kadar inflasi yang menurun, ia tidak membawa apa-apa makna kerana penurunan kadar inflasi adalah disebabkan oleh permintaan yang lemah dan kuasa beli rakyat yang semakin menurun.

“Semua ini pastinya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat,” ujarnya.

 

Author

Pilihan Editor