HomeBeritaSikap tamak punca anggota polis terpalit jenayah- Ketua Polis Kuala Lumpur

Sikap tamak punca anggota polis terpalit jenayah- Ketua Polis Kuala Lumpur

CYBERJAYA: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid menegaskan sikap tamak dan mengikut kehendak diri antara sebab masih berlakunya kes jenayah dalam kalangan anggota pasukan itu.

Jelas beliau, tindakan tegas dan tanpa kompromi akan diambil terhadap mereka yang terpalit mengikut undang-undang yang terpakai tanpa tolak ansur.

“Saya tak setuju jika dikatakan ramai anggota polis terbabit salah laku, 10 anggota yang melakukan kesalahan berbanding 10,000 yang berada di Kuala Lumpur, angka itu menunjukkan kurang daripada satu peratus yang bermasalah.

“Penyeliaan anggota ada main peranan tetapi punca utamanya (salah laku) ialah kelemahan peribadi, ingin hidup mewah dan tamak. Ini perkara yang kita sedang tangani.

“Mereka yang terbabit perlu lepaskan daripada pasukan ini, dan masyarakat pula perlu menghargai baki mereka yang bekerja keras menjaga keharmonian masyarakat,” katanya memetik Kosmo! Online.

Mengulas mengenai enam anggota yang terlibat memproses dan mengedar ketum, Allaudeen memaklumkan tindakan penahanan sudah dilakukan sehingga siasatan selesai.

“Empat daripada mereka sudah ditahan kerja, kita sedang tunggu laporan kimia, jika positif kita akan hantar kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pertuduhan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Allaudeen memaklumkan kes empat anggota yang disyaki melakukan pemerasan di hadapan pangsapuri di Kepong, 4 Januari baru-baru ini turut diambil tindakan tahan kerja.

“Kes ini kita telah selesai siasatan dan mereka akan dituduh dalam masa terdekat, saya ulang sekali lagi yang pihak polis tidak akan kompromi dengan salah laku anggota,” tegasnya.

Author

Pilihan Editor