HomeBeritaSPRM panggil Mirzan Mahathir berhubung siasatan pengubahan wang haram

SPRM panggil Mirzan Mahathir berhubung siasatan pengubahan wang haram

CYBERJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan memanggil Mirzan Mahathir bagi membantu siasatan berkait dakwaan pengubahan wang haram.

Ahli perniagaan terkemuka yang juga anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi Rabu dan dikehendaki mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya.

“Satu perintah notis diberikan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009. Notis itu mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut,” kata SPRM dalam kenyataan pada Khamis.

SPRM berkata, perintah itu adalah tindakan susulan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaan Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut SPRM, siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM menjelaskan bahawa mereka telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Pandora Papers dan juga Kertas Panama.

“Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam percakapan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan,” tambahnya lagi.

Terdahulu, pada 10 Januari, SPRM memanggil isteri dan dua anak lelaki bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin untuk memberi keterangan berhubungan pendedahan Pandora Papers.

Author

Pilihan Editor