KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, bagi tempoh lima tahun dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini, pada Rabu.
Lapor Bernama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Sultan Ibrahim, 65, dan Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah, manakala Johor diwakili Pemangku Sultan Johor; Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang; Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan, yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sultan Ibrahim turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian membacakan kandungan surat perisytiharan itu dan bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Pegawai Agama Istana, Datuk Munir Md Salleh memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT memohon kesejahteraan ke atas Yang di-Pertuan Agong serta seluruh rakyat dan negara ini.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa, selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019.