KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba di Istana Negara pada Rabu, bagi menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.
Ketibaan Sultan Ibrahim pada jam 10.38 pagi itu yang menaiki kereta jenis Mercedes-Benz 600 Pullman turut diringi kenderaan kerabat diraja, polis pengiring, pegawai keselamatan dan ambulans.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu dijadual diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara pada jam 11 pagi.
Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Istiadat sama turut menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan membacakan Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan, yang ditandatangani Sultan Ibrahim di hadapan sultan dan raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan.
Terdahulu, Sultan Ibrahim selamat tiba di ibu negara bagi menghadiri istiadat tersebut.
Pesawat peribadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) yang membawa Seri Paduka Baginda tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor kira-kira jam 9.40 pagi.
Ketibaan baginda di lapangan terbang disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin.
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lepas, yang turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada Selasa.