HomeBeritaMahkamah & JenayahSuspek bakar rumah Koo Ham bukan ahli parti politik

Suspek bakar rumah Koo Ham bukan ahli parti politik

 

MANJUNG: Suspek lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes melontar ‘molotov cocktail’ sehingga menyebabkan kebakaran kenderaan dan rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham bukan ahli parti politik.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti motif suspek berusia 30-an itu.

“Tidak, suspek bukanlah ahli mana-mana parti politik.

“Berdasarkan siasatan, suspek juga menetap di luar daerah Manjung,” katanya, hari ini.

Ditanya sama ada motif suspek berunsur dendam peribadi atau diupah pihak lain, Mohd Yusri berkata, motif suspek masih dalam siasatan polis.

Rabu lalu, media melaporkan kebakaran membabitkan kediaman Ngeh yang juga Penasihat DAP Perak di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini.

Kejadian itu mengakibatkan Mercedes Benz E300 miliknya musnah dan turut menyebabkan kerosakan pada Honda CR-V, Toyota Hilux serta halaman rumah Koo Ham.

Semalam, Mohd Yusri dilaporkan berkata suspek diberkas jam 4 pagi Jumaat di Shah Alam, Selangor itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Lelaki terbabit kini ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor