PETALING JAYA: Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, kerajaan di peringkat awal menyemak dan menyelidik kemungkinan mewujudkan ‘lemon law’.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, Malaysia aktif menangani isu perlindungan pengguna berkaitan kenderaan rosak dan menganalisis amalan antarabangsa, sebelum menyesuaikannya untuk kegunaan tempatan.
Beliau membangkitkan perkara itu bagi mengulas mengenai desakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) untuk memperkenalkan ‘lemon law’.
‘Lemon law’ merupakan remedi undang-undang untuk pengguna membeli kenderaan rosak, sama ada baharu atau lama, yang gagal memenuhi kriteria kualiti serta prestasi dalam tempoh khusus.
Amerika Syarikat (AS), Singapura, Korea Selatan, China dan Filipina antara negara mengguna pakai undang-undang seperti itu.
Pada 2004, Singapura merangkumkan ‘lemon law’ dalam Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil).
Bagaimanapun, Armizan berkata, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diguna pakai Malaysia turut melindungi pengguna daripada kenderaan rosak.
“Akta itu melindungi pengguna berkait kenderaan rosak dalam beberapa cara, walaupun ia bukan secara jelas ‘lemon law’ dan tidak menawarkan remedi khusus seperti pembelian semula kereta untuk kerosakan tidak boleh dibaiki.
“Ia menyediakan pelbagai peruntukan yang boleh digunakan untuk menangani masalah kenderaan rosak,” katanya seperti dilapor FMT.
Terdahulu, dua kenderaan yang baru dibeli mengalami kerosakan dan tular di media sosial.
Seorang kerani, S Nagakanni dilapor berkata, Perodua Bezza miliknya mengalami kerosakan meskipun baru lapan jam selepas dibeli.
Wanita itu memaklumkan, dia terpaksa melunaskan pinjaman sebanyak bulanan RM537, walaupun kereta itu tersadai di pusat servis.
Noriya Mamat dari Terengganu pula kata, Honda HR-V yang baru dibelinya juga tersadai di pusat servis selama berbulan-bulan.
Jelasnya, dia terpaksa membuat bayaran bulanan RM1,500 untuk kereta itu yang langsung tidak dapat dipandunya.