CYBERJAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyarankan supaya sesi persekolahan di Pulau Pinang ditangguhkan susulan gangguan bekalan air berjadual di kebanyakan kawasan di negeri itu, minggu depan.
Naib Presiden Parti Gerakan, Baljit Singh berkata, Kerajaan Pulau Pinang harus mempertimbang penangguhan sesi persekolahan bermula 10 hingga 14 Januari depan mengikut notis yang dikeluarkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) supaya para pelajar tidak mengalami kesukaran.
“Sesi persekolahan perlu ditangguhkan ekoran daripada notis gangguan bekalan air yang dikeluarkan oleh PBAPP, baru-baru ini.
“Ini adalah kerana air merupakan keperluan asas untuk semua pihak dan masalah gangguan air ini memberi kesan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang terutamanya pelajar-pelajar untuk ke sekolah”, katanya memetik Kosmo pada Jumaat.
Terdahulu, media melaporkan hampir 590,000 pengguna air di Pulau Pinang dijangka mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari ini.
Gangguan itu berlaku untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.