HomeBeritaViral'Taste of death' - Wanita ini kongsi risiko siang ikan buntal

‘Taste of death’ – Wanita ini kongsi risiko siang ikan buntal

TAHUKAH anda bahawa bukan semua orang berupaya menyiang ikan buntal?

Menerusi perkongsian seorang wanita Malaysia yang menetap di Jepun, Zunita Ramli, ikan buntal adalah sejenis ikan yang beracun.

“Ikan buntal atau dipanggil “fugu” dalam Bahasa Jepun adalah ikan yang sangat beracun. Mengandungi tetrodotoxin yang lebih toksik dari cyanide, makan ikan ini berpotensi untuk membawa maut.

“Di Jepun, hanya yang terlatih saja dibenarkan menyiang ikan beracun ini.

“Chef yang menyiang ikan buntal perlu ada lesen dan berdaftar. Nak dapatkan lesen untuk siang ikan buntal ni bukan senang. Seseorang perlu menjalani latihan intensif paling kurang pun 5 tahun dan kena lepas beberapa siri ujian dan peperiksaan,” kongsinya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Zunita turut menyatakan bahawa bahagian ovari ikan buntal adalah bahagian paling beracun manakala bahagian testikel ikan buntal jantan adalah bahagian paling sedap dinikmati.

“Antara yang agak tricky untuk dikenalpasti walaupun chef yang berpengalaman adalah bahagian ovari dan testikel ikan buntal.

“Sebab ovari ikan buntal betina sangat beracun manakala testikel ikan buntal jantan pula sangat sedap untuk dimakan. Jadi kalau tersilap antara dua ni, boleh bawa maut kepada pemakan.

“Menariknya, sampai sekarang pun, kerabat diraja Jepun diharamkan makan ikan buntal walaupun disediakan oleh chef berpengalaman,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Zunita turut menjelaskan antara faktor masih ada yang mahu menikmati hidangan ikan buntal itu meskipun beracun adalah kerana ia merupakan menu dalam makanan Jepun sejak beratus tahun dahulu.

“Salah satu jenis ikan buntal yang paling berbahaya, tetapi paling digemari adalah Tiger Fugu. Harga untuk satu hidangan Tiger Fugu boleh mencecah sehingga lebih RM800!

“Selain dari rasa ikan buntal yang unik dan tekstur nya yang sedikit kenyal, ianya juga rendah lemak dan tinggi protein.

“Jadi tidak hairanlah ikan ini digemari oleh masyarakat Jepun, walaupun harganya sedikit mahal.  Mereka cakap ini adalah harga yang perlu dibayar untuk rasa “taste of death”, tulisnya.

Author

Pilihan Editor