HomeBeritaViralTawar sogokan, aksi pemandu Volkswagen kuning dirakam polis

Tawar sogokan, aksi pemandu Volkswagen kuning dirakam polis

BELUM pun reda isu anggota pihak berkuasa didakwa meminta rasuah daripada pelancong, kini timbul pula kes baharu jenayah itu yang dilihat semakin berleluasa.

Namun, kali ini, individu dipercayai rakyat tempatan dengan tanpa segan silu berani menawarkan sogokan kepada anggota pihak berkuasa.

Menerusi video tular, pemandu kereta jenis Volkswagen kuning didakwa melakukan cubaan menawarkan rasuah kepada seorang anggota polis ketika ditahan di tepi jalan.

Namun, tawaran itu sebaliknya ditolak mentah-mentah oleh anggota polis tersebut, yang kemudian merakam kejadian berkenaan.

Tindakan anggota polis itu sekali gus menyebabkan kedua-kedua pemandu dan penumpang kereta tersebut terkedu.

Masa dan lokasi sebenar kejadian serta tindakan selanjutnya oleh anggota itu belum dapat dipastikan.

Sementara itu, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung perkara tersebut setakat artikel ini ditulis.

Negara baru-baru ini kecoh apabila anggota polis trafik didakwa memberi ‘diskaun’ kepada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK), yang didakwa melakukan kesalahan jalan raya.

Anggota polis trafik itu memberi pilihan kepada mereka sama ada mahu membuat bayaran tunai RM100 di lokasi kejadian atau membuat bayaran sebanyak RM300 di balai polis.

Menerusi klip video tular itu, pasangan berkenaan menjelaskan keliru dengan tindakan anggota polis terbabit, namun memilih menerima tawaran diskaun berbanding membuat pembayaran di balai.

Setakat ini, seramai tiga anggota polis berusia 37 hingga 42 tahun ditahan reman pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Tidak lama selepas itu, tular sebuah lagi video memaparkan anggota polis trafik memberi pilihan sama kepada pelancong yang ditahan, atas kesalahan tidak memakai topi keledar keselamatan di Langkawi, Kedah.

Lantaran itu, pihak polis juga sedang melakukan siasatan berhubung kes berkenaan.

Author

Pilihan Editor