HomeBeritaTerima wang RM100 daripada pelancong, 3 anggota trafik ditahan

Terima wang RM100 daripada pelancong, 3 anggota trafik ditahan

IPOH: Tiga anggota trafik ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tular menerima wang suapan RM100 daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK), baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ketiga-tiga mereka berusia dalam lingkungan 37 hingga 42 tahun dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak.

“Ketiga-tiga mereka telah direman selama tiga hari bermula hari ini (Selasa) bagi siasatan kes mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas dilengkapkan.

Menurutnya, polis menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard juga akan menjalankan siasatan dalaman terhadap anggota terlibat.

“Kita meminta mangsa yang terlibat dalam kes ini untuk tampil memberikan kerjasama kepada polis agar siasatan dapat dilengkapkan dengan kadar segera,” katanya.

Mohd Yusri berkata, kes itu dikesan selepas satu video tular di media sosial memaparkan tindakan anggota trafik yang menahan kenderaan dinaiki pasangan pelancong asing atas kesalahan lalu lintas.

Katanya, dalam kejadian di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu, anggota berkenaan telah menawarkan bayaran saman dengan menerima suapan RM100.

“Satu laporan polis mengenai kejadian itu telah diterima dan siasatan kes dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh.

“Dalam kes ini, kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang dilakukan mana-mana warga polis,” katanya.

Author

Pilihan Editor