HomeBeritaViralTermakan pujuk rayu pelakon, penuntut universiti gugurkan kandungan

Termakan pujuk rayu pelakon, penuntut universiti gugurkan kandungan

“SAYA ikut segala permintaannya untuk menggugurkan kandungan selepas memujuk saya berulang kali.”

Demikian dakwaan seorang wanita yang kini terpaksa menanggung kesakitan akibat jangkitan di bahagian rahim selepas menggugurkan kandungan pada Oktober lalu hasil hubungan terlarang bersama seorang pelakon terkenal.

Memetik Harian Metro, wanita yang merupakan seorang penuntut universiti berusia 21 tahun itu berkata, pelakon terbabit berjanji untuk menjaganya sebaik dia berbuat demikian.

Bagaimanapun, selepas wanita itu menggugurkan kandungan, pelakon tersebut ‘hilang’ dan tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan.

“Saya sanggup menarik semula laporan polis dan menggugurkan kandungan selepas termakan segala pujuk rayunya yang konon mahu menjaga saya sebaik menggugurkan kandungan.

“Dia turut berjanji untuk mengahwini saya walaupun harapan untuk hamil lagi agak susah kerana mengambil ubat gugur janin.

“Malangnya kata-kata manis yang diberikan itu hanya untuk melepaskan diri dan tidak mahu bertanggungjawab sedangkan saya sekarang terpaksa berulang-alik ke hospital kerana mengalami jangkitan pada alat kelamin.

“Saya hanya mengetahui masalah ini dua minggu lalu selepas doktor memberitahu proses pengguguran melalui pil gugur janin yang saya ambil tidak berkesan sepenuhnya. Ada janin yang masih berada di dalam badan,” katanya.

Luahan yang dikongsikan wanita itu menerusi TikTok @aniqsuhairisaliar

Jelas wanita yang tidak diketahui nama itu, segala pendedahan yang dibuat bukan untuk meminta belas kasihan agar pelakon itu tampil memperisterikannya.

“Saya tak nak pun kahwin dengan dia. Saya hanya ingin dia menjadi seorang yang bertanggungjawab dan ada sifat perikemanusiaan.

“Cuma ketika saya sedang berada pada fasa terendah dalam hidup saya sekarang ini, setidak-tidaknya tanyalah khabar dan beri sokongan serta selesaikan masalah ini secara baik.

“Namun saya pula kena tanggung kesakitan seorang diri, sementara dia seronok menikmati kehidupan seperti tiada apa yang terjadi.

“Saya mahu dia menerima balasan yang setimpal. Biarlah saya dan dia diheret ke muka pengadilan atas kesalahan yang kami lakukan. Saya mahu dia belajar daripada pengajaran ini, bukan bebas dan menjalani kehidupan dengan penuh bahagia,” luahnya.

Luahan yang dikongsikan oleh wanita itu menerusi TikTok @aniqsuhairisaliar

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang wanita mendakwa dirinya hamil anak kepada seorang pelakon lelaki.

Lebih memburukkan keadaan apabila pelakon tersebut dikatakan enggan bertanggungjawab terhadap kandungan itu.

Pelakon utama drama Sekali Lagi Cinta Kembali, menjadi bualan warga net apabila wanita itu berkongsi beberapa foto dan video mendakwa pelakunya merupakan pelakon terbabit.

Author

Pilihan Editor