HomeBerita'Tinggal di flat tetapi selera duduk kondo'

‘Tinggal di flat tetapi selera duduk kondo’

 

KUALA LUMPUR: Tindakan pemilik kediaman flat di sini memasang jeriji mendatangkan kemarahan penduduk kerana menghalang laluan pejalan kaki di bangunan itu.

Tinjauan di sekitar Blok F1, Flat Wangsa Maju Seksyen 2 mendapati terdapat sekurang-kurangnya satu jeriji dipasang di setiap tingkat pada bangunan empat tingkat itu, lapor Berita Harian.

Tindakan memasang jeriji itu turut menimbulkan rasa marah penduduk sehingga ada yang menconteng dinding bersebelahan unit yang berada pada tingkat satu blok F1 bangunan itu.

Tinjauan juga mendapati terdapat penduduk yang menambah binaan dan struktur pada bahagian belakang flat terutamanya penduduk di tingkat bawah.

Sikap pemilik kediaman Flat Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur menghalang laluan pejalan kaki di bangunan itu. – Foto FB.

Menurut pengurus bangunan blok tersebut, Nini Farah Syafiqah Geni, 50, hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempunyai kuasa penuh untuk mengambil tindakan ke atas penduduk yang melakukan ubah suai tanpa kebenaran itu.

“Kami baru mengambil alih pengurusan pada 1 Januari yang lalu, setakat ini belum ada aduan daripada penduduk. Kami perlu tanyakan kepada ahli jawatankuasa (AJK) penduduk terdahulu.

“Mengenai ubah suai dan menambah struktur di tingkat bawah flat, walaupun ianya tidak boleh dilakukan, kami akan bermesyuarat dengan AJK kemudian beri surat kepada DBKL. DBKL perlu masuk campur,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau turut berkongsi pengalamannya menguruskan flat dan kondominium di dalam kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Dahulu bangunan yang kami uruskan sekiranya ada aduan MPAJ akan mengambil tindakan segera dengan merobohkan binaan walaupun ubah suai telah dilakukan selama lebih 10 tahun,” katanya.

Sementara itu, tindakan memasang jeriji tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna Facebook.

Sikap pemilik kediaman Flat Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur menghalang laluan pejalan kaki di bangunan itu. – Foto FB.

Menurut Deineise Nordin, tindakan itu melambangkan mentaliti penduduk flat yang kebanyakannya mementingkan diri sendiri.

“Semuanya mahu ditandakan sebagai hak sendiri. Jika boleh parkir juga mereka mahu kawal, semuanya hak dia. Ada juga pengguna yang tidak kisah dan bertimbang rasa,” katanya.

Albert Jim Bert pula berkata, sekiranya takut rumah dirompak, beliau mencadangkan penghuni tersebut untuk tinggal di rumah banglo.

Sementara itu, A Mustafa Kamal Ramli berkata, DBKL patut melakukan pemeriksaan berkala.

“Binaan seperti ini perlu dibuka kerana menyusahkan masyarakat,” katanya.

Author

Pilihan Editor