HomeBeritaViralWanita kongsi kisah jual jiwa pada syaitan

Wanita kongsi kisah jual jiwa pada syaitan

JUAL jiwa pada syaitan.

Itulah yang dikongsikan seorang wanita beragama Kristian menerusi sebuah video di TikTok miliknya sebagai iktibar buat orang ramai.

Menurut wanita bergelar Esty Richard, kisahnya bermula pada Ogos 2022 iaitu ketika dia mengalami kemurungan yang teruk sehingga pada suatu malam, kedengaran suara yang kerap kali menyuruh dirinya untuk mencari cara penjualan jiwa.

Pada mulanya wanita itu cuba mengabaikan bisikan itu, namun dek kerana wujud perasaan ingin tahu dia akhirnya membuat pencarian berhubung perkara tersebut.

Susulan itu, Esty memutuskan untuk membuat perjanjian dengan syaitan dengan dua syarat.

“Saya akan benarkan awak (syaitan) ambil jiwa saya dengan dua syarat iaitu saya nak duit dan populariti.

“Kalau awak boleh beri saya dua ini, saya milik awak sepenuhnya,” ceritanya.

Sejak kejadian itu, Etsy mengatakan dia terasa seperti ada sesuatu yang menghela nafas dekat pada tubuh badannya.

Lebih aneh lagi apabila keesokan harinya, Etsy menerima notifikasi di TikTok tanpa henti di mana jumlah pengikutnya meningkat naik dari 2,000 kepada 10,000 orang pengikut.

Malah, video pertama yang dimuat naiknya di akaun itu sebelum ini tiba-tiba tular hingga mencecah lebih satu juta tontonan.

Meskipun semua perkara terjadi secara mendadak, Etsy masih menganggap ia sekadar kebetulan kerana syarat keduanya iaitu mahu menjadi kaya masih belum tercapai.

Bagaimanapun, semuanya berubah apabila pada pukul 2 pagi, secara tiba-tiba muncul notifikasi menyatakan wang berjumlah RM3,000 telah ditransaksi ke akaun bank Etsy.

Perkara itu membuatkan dia tergamam seketika kerana pada waktu kejadian, Etsy tidak bekerja disebabkan kemurungan.

Hasil semakan, Etsy mendapati wang tersebut adalah gaji daripada syarikat lamanya yang tidak dilunaskan sebelum ini.

Kongsi wanita itu lagi, disebabkan kedua-dua syaratnya itu telah dilunaskan, maka dia bersetuju untuk menyerahkan jiwanya kepada syaitan.

Lantas sejak kejadian itu, akaun media sosialnya semakin aneh kerana banyak kandungan berunsurkan penyembahan syaitan dan gaya percakapannya juga berbeza.

Lebih membimbangkan apabila setiap kali Etsy mahu menyebut nama ‘Tuhan atau Jesus’, dia seakan-akan mahu termuntah.

Semua yang dilaluinya itu tampak seperti normal sehinggalah pada suatu hari, dia dan sepupunya bercerita tentang takdir sehingga memuji kebesaran Tuhan.

Esty sedar perbuatannya itu pasti menimbulkan kemarahan syaitan dan secara tidak langsung, dia menerima satu panggilan yang mengugut untuk membunuhnya.

Ancaman itu membuatkan Etsy berasa sangat takut sehingga tidak boleh tidur dan berat badannya menyusut teruk hampir sebulan.

Meskipun sudah membuat laporan polis, Etsy masih hidup dalam keadaan takut sehingga dia memutuskan untuk meminta pertolongan kawan lamanya dari gereja untuk membebaskan diri daripada ‘kegelapan’ terbabit.

Hasil pertolongan kawannya yang meminta dia terus berdoa kepada Tuhan, Etsy akhirnya berjaya melepaskan dirinya daripada perjanjian kotor itu dan kembali percaya bahawa Tuhan sentiasa ada bersama mereka yang lemah.

https://www.tiktok.com/@estyrichard/video/7316227629940608263?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7206178105420596737

Author

Pilihan Editor