GERIK: Seorang wanita warga emas bersama anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung dalam kejadian kebakaran pondok di sebuah dusun di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda di sini pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis mengenai kejadian tersebut pada jam 7.38 pagi.
Menurutnya, sejurus itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kebakaran tersebut melibatkan sebuah pondok musnah terbakar 95 peratus. Api telah padam sebelum pihak bomba sampai di lokasi.
“Terdapat dua mangsa perempuan masing-masing berusia 76 tahun dan anaknya berusia 43 tahun yang merupakan OKU penglihatan didapati rentung,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sayani berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.