HomeBerita12 kedai makan kotor diarah tutup 14 hari di Pasir Puteh

12 kedai makan kotor diarah tutup 14 hari di Pasir Puteh

PASIR PUTEH: Penyimpanan bahan mentah yang tidak bertutup dan keadaan dapur yang tidak bersih menjadi antara punca sebanyak 12 kedai makan di daerah ini diarah tutup selama 14 hari bermula Selasa.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin berkata, arahan tersebut dikeluarkan selepas JKNK menjalankan pemeriksaan di 62 premis makanan menerusi Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 02/2024.

Menurutnya, operasi itu dijalankan di premis-premis makanan yang menjadi tumpuan orang ramai di sekitar bandar Pasir Puteh, sempadan Pasir Puteh-Terengganu, jalan-jalan utama Pasir Puteh hingga ke sempadan Pasir Puteh-Kota Bharu di sini.

“Sebanyak 12 premis didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang telah ditetapkan JKNK apabila keadaan dapur yang tidak bersih boleh mengundang pencemaran terhadap makanan yang dihasilkan.

“Selain itu, premis-premis terbabit juga didapati menyimpan bahan mentah yang padat dan tidak bertutup boleh menjadi punca pencemaran silang selain suhu penyimpanan tidak mencapai standard ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaini turut menyatakan ke semua premis tersebut telah diarahkan untuk ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Susulan itu, sebanyak 89 Notis Seksyen 32B Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah turut dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting tahap kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

“Sekiranya masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan ke berikutnya, arahan penutupan premis akan dijalankan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” ujarnya.

Tambahnya lagi, berhubung perkara tersebut orang ramai khususnya yang mengunjungi gerai makanan di seluruh Kelantan disarankan untuk memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar.

Author

Pilihan Editor