HomeBerita3 anggota tentera maut dirempuh lori dekat Gurun

3 anggota tentera maut dirempuh lori dekat Gurun

GURUN: Tiga anggota tentera maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan, termasuk tiga trak tentera dan sebuah lori di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, kesemua anggota tentera yang berusia antara 30 hingga 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10.22 pagi dan sepasukan anggota BBP Guar Chempedak bersama bantuan enam anggota dari BBP Pendang telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Terdapat empat mangsa yang melibatkan empat kenderaan termasuk tiga trak tentera dan sebuah lori jenis Isuzu.

“Dipercayai kesemua trak tentera yang bergerak secara konvoi itu berhenti apabila satu daripadanya rosak dan ketika anggota turun dari kenderaan itu, sebuah lori yang dipandu lelaki berumur 31 tahun terbabas dan melanggar kesemua mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemandu lori Isuzu yang parah itu sudah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, katanya, ketiga-tiga anggota tentera yang maut dihantar ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

“Kerja-kerja pembersihan akibat kemalangan di lokasi kejadian sedang dilakukan,” katanya.

Author

Pilihan Editor