SUNGAI PETANI: Satu kebakaran memusnahkan sebuah rumah dan bengkel membaiki kenderaan di Kampung Lebai Man, di sini, hari ini.
Menurut laporan Metro, kebakaran tersebut menyebabkan empat kereta dan tiga motosikal musnah terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 6.06 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak di kawasan bengkel membaiki kenderaan dan rumah berkenaan sebelum operasi pemadaman dilakukan.
“Rumah dianggarkan terbakar 90 peratus manakala bengkel 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, operasi pemadaman dilakukan sepasukan 12 anggota dari BBP Sungai Petani diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhamad Aslan Yusof dibantu enam anggota dari BBP Aman Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani.
Ismail menyatakan bahawa tiada mangsa dilaporkan berada dalam rumah dan bengkel berkenaan ketika kejadian.
“Siasatan masih dilakukan bagi mengetahui punca dan kerugian dalam kejadian itu,” ujarnya lagi.