HomeBeritaInsentif awal RM2,000 buat penjawat awam, RM1,000 lagi untuk pesara kerajaan -...

Insentif awal RM2,000 buat penjawat awam, RM1,000 lagi untuk pesara kerajaan – PM

PUTRAJAYA: Penjawat awam di negara ini bakal menerima durian runtuh menjelang bulan Ramadan dan pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 tidak lama sahaja lagi.

Ini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai 23 Februari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran insentif sebanyak RM2,000 itu akan diberikan kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Tidak mengabaikan golongan yang tidak lagi dalam perkhidmatan, Anwar berkata, sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada semua pesara kerajaan.

“Ini termasuk kepada veteran berpencen dan veteran tidak berpencen,” katanya berucap ketika Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Menteri Kewangan di sini pada Selasa.

Pada 13 Oktober lalu, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat mengumumkan insentif berkenaan akan dilaksanakan pada akhir bulan Februari 2024.

Anwar (tiga dari kiri) ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Menteri Kewangan di Putrajaya pada Selasa.

SSPA bakal siap dalam tempoh dua bulan

Dalam majlis sama, beliau berkata, laporan akhir SSPA bakal disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi, iaitu lebih awal daripada jangkaan.

Katanya, perkara tersebut sudah dipersetujui bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk mempercepat proses berkenaan.

Jelasnya, kerajaan mengambil pendirian untuk mempercepatkan proses tersebut, memandangkan penjawat awam telah menunggu selama 12 tahun.

“Sebab itu saya mulakan (kajian) dan tidak mahu mengatakan ini sengaja dilengah-lengahkan. Sudahlah 12 tahun menunggu dengan ‘committee’ (jawatankuasa) lagi, ada jawatankuasa koordinasi (seterusnya) ada jawatankuasa koordinasi ‘super’, kemudian jawatankuasa Kabinet, kemudian jawatankuasa dipengerusi Perdana Menteri.

“Ada 15 jawatankuasa, baru nak putuskan (keputusan), tidak. Kita ambil ‘fast track’ dan kalau tak selesai juga, tukar Perdana Menteri.

“Sebab itu saya tak buat lagi macam itu, Perdana Menteri mempengerusikan dan kita muktamadkan dalam saya ingat kalau ikut jangkaan kita paling lewat dua bulan ini dan dibentangkan dalam Jemaah Menteri untuk kelulusan muktamad,” ujarnya.

Terdahulu, Laporan Interim 1 Kajian SSPA telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada 19 Januari lalu.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan, pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat bermula 2025.

Sehubungan itu, kajian berhubung SSPA akan dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Author

Pilihan Editor