IPOH: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Tapah sudah pun ditangkap semula setakat Selasa pagi.
Daripada jumlah itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, 64 orang ditahan polis, 22 orang ditangkap pihak imigresen manakala baki 43 tahanan masih diburu.
Mohd Yusri berkata, pasukan operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan imigresen telah berjaya menangkap 26 lelaki etnik Rohingya pada Selasa.
“Tangkapan dilakukan di kawasan Kilometer (KM) 326.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) arah selatan Tapah, rumah kongsi projek Felcra Sungai Gempel Bidor, Kampung Orang Asli Kenoh Tapah, kawasan Pos Woh Jalan Pahang Tapah dan Kampung Batu Melintang Tapah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk bekerjasama dalam mengesan tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari depot berkenaan, selain tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi situasi semasa.
Katanya, selain operasi mengesan serta menangkap akan diteruskan sehingga tempoh tertentu.
Dalam kejadian pada 9.50 malam Khamis lalu, seramai 131 tahanan terdiri daripada etnik Rohingya serta warga Myanmar dan Bangladesh meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, dengan kesemua tahanan itu merusuh serta merosakkan pagar depot sebelum melarikan diri.
Namun, dua daripada tahanan yang lolos itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.