HomeBeritaAman Palestin perlu dibicara secara adil, dihukum jika bersalah - MCW

Aman Palestin perlu dibicara secara adil, dihukum jika bersalah – MCW

CYBERJAYA: Keraguan terhadap Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) susulan pertuduhan mahkamah yang dihadapi telah menjadi isu berlarutan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim tidak menolak kemungkinan penggunaan slogan agama untuk berselindung menyebabkan kebanyakan penderma memilih untuk tidak mempertikaikan pengurusan dana.

Justeru itu, beliau menegaskan, pendakwaan tersebut penting untuk mengetepikan isu berkenaan dengan segera.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu perlu dibicarakan dengan adil dan dihukum dengan berat jika didapati bersalah oleh mahkamah.

“MCW dari awal lagi memandang serius isu penyalahgunaan dana Aman Palestin dan berharap mereka dibicarakan dengan adil dan dihukum dengan berat jika didapati bersalah.

“Keadilan harus ditegakkan tanpa mengira pangkat atau kedudukan sosial,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, tiga individu termasuk Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 164 pertuduhan pecah amanah, menipu dan pengubahan wang haram berjumlah RM39.5 juta.

Namun, ketiga-tiga tertuduh iaitu Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abd Rahman, 58; Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, 52; dan seorang pengarah syarikat pelaburan Khairudin Mohd Ali, 49, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengulas lanjut, Jais berkata, tuduhan pecah amanah, penipuan, dan pengubahan wang haram pasti merosakkan integriti serta kepercayaan dalam pengurusan organisasi amal.

Oleh itu, MCW menggesa masyarakat untuk terus memainkan peranan aktif dalam memantau kegiatan organisasi amal serta menyokong langkah-langkah pencegahan rasuah yang berkesan.

“Aman Palestin perlu mempercayai proses undang-undang yang sedang berjalan. Mereka juga perlu redha dengan tindakan ini demi memastikan organisasi mereka dibersihkan sepenuhnya dari sebarang tuduhan penyalahgunaan atau penyelewengan dana.

“Dengan menjadi sebuah NGO yang bersih, lebih ramai penyumbang akan bersedia untuk memberikan sumbangan pada masa hadapan.

“MCW akan terus mengikuti perkembangan kes ini dan memberikan sokongan penuh kepada pihak berkuasa dalam memastikan keadilan dan ketelusan dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Author

Pilihan Editor